| Wednesday, February 28, 2007 |
| Pieces 11 |
Kehidupan ini adalah sekolah. Tempat terbaik untuk manusia belajar untuk menjadi manusia. Kadang-kadang kita lelah, mengah atau jatuh terduduk. Ada waktunya kita juga pernah berada di puncak, menyentuh awan-gemawan.
Saya hari ini pulang awal. Rezeki yang Allah berikan. Waktu lapang, cadang saya mahu duduk tenang dan belajar untuk peperiksaan. Ujian lepas, saya mencatat prestasi kurang baik. Semangat saya untuk bekerja, makin pudar, jujurnya. Saya masih mahu bertahan.Senior saya, berhenti kerja hari ini. Kawan saya yang sudah bersuami, juga merancang untuk berhenti. Seorang lagi, nekad untuk berhenti.
Berhenti buat masa ini bukan pilihan terbaik, agaknya.Tapi inilah cubaan dan pelajaran yang Allah mahu saya harungi dengan sabar dan sehabis baik mengingatiNya.
Sesudah Asar, saya mendekati Abang Samah. Dia adalah kawan rahsia saya, saat saya hampir terduduk waktu sakit dahulu, dalam keadaan tertekan, dia datang membantu.Mengurut tapak tangan dan kaki.Hari ini, dia datang membantu, refleksologi tangan dan kaki.Paling penting, Allah menuliskan, dia memberikan saya refleksologi hati.
Dia orangnya sangat simple, orang tabligh. Pendapatan hariannya, kais pagi , makanlah pagi dan kalau ada rezeki waktu petang, kenyanglah waktu malam, hanya dengan kepakarannya mengurut.
Petang tadi, saya hampir meluahkan semuanya pada Abang Samah, kekalutan dan kelelahan saya.Dia memujuk dan sebetulnya dia cuba memahami. Waktu ini adalah waktu sukar, tetapi seharusnya saya mesti bersyukur kerana Allah masih memberikan saya kekuatan, izinNya dan dorongan sekurang-kurangnya saya boleh bersolat dan beramal fardi.Betapa ramainya manusia di luar sana yang masih tidak kenal Allah, melalaikan ibadah dan tidak tahu arah tujuan hidupnya.
"Akim, kadang-kadang apabila kita susah, kita kena merayu.Merayu kepada yang mendatangkan masalah, kerana Dia sahajalah yang mampu menghilangkannya. Kita kena sangka baik, Dia memberikan kita masalah, kerana mahu kita berfikir.Fikir adalah satu keistimewaan yang Allah beri kepada para anbiya'.Berfikir tentang ummat. Bagaimana mahu menyelamatkan ummat.Otak yang bermasalah akan berfikir.."
Ya, dan saya mengangguk jauh di dalam hati.
"Dunia memang penuh dengan masalah.Beza Akim dan pelajar-pelajar sekolah, mereka masih belum bertemu dengan dunia yang sebenar.Masalah mereka hanyalah matapelajaran-matapelajaran."
Masalah dunia akan menjadi kecil, jika kita menghijrahkan diri kita ke akhirat.Akhirat itu luas dan dunia ini kecil. Akim, sebutlah Al-Jabbar, kerana kekuatan Allah sahajalah yang mampu mengatasi semuanya. Di dunia ini, kita perlu menjadi hero,tetapi kita perlukan Al-Jabbar.
Alhamdulillah, segalanya saya titipkan buat Pencipta saya, Allah yang Amat Bijaksana, tidak ada sehelai daun yang gugur di alam fana' ini melainkan , Dia mengetahuinya, apatah lagi masalah saya yang hakikatnya kecil ini. Abang Samah, mungkin tampak seperti peminta sedekah yang compang-camping, tetapi petang ini, saya merasakan dia adalah ahli falsafah yang bahagia dengan hidupnya.
Cinta adalah ruh pada agama, bisiknya pada saya. Benar, saya juga masih mengingati pesan muallim saya, berbuatlah amal islami bukan kerana merasakan berat beban yang terpikul atau takut akan azabNya, kelak.Tapi berbuatlah atas dasar cinta, kerana Allah.
Ketahuilah, cinta adalah kekuatan tak terlawankan, manusia sanggup mati kerananya. Apatah lagi, kerana Allah.
Marilah beramal kerana Allah , demi ummat ini! Doakan kebaikan untuk semua. Semoga catatan ini bermanfaat. Saya cuma mahu berkongsi dan memberi makna dalam kehidupan. Noktah.
|
posted by hukamaque @ 6:35 pm  |
|
|
|
|
|