Friday, December 29, 2006
Legasi Cinta Sang Penyu
Di sebuah kawasan pinggir laut yang terhampar permaidani pasir dan pepohon nyiur yang setia melambai, seekor penyu dewasa memandang jauh. Jauh, dan pandangannya jatuh ke samudera biru yang berkilauan. Syukur pada Allah yang Maha Menyempurnakan, sekurang-kurangnya dia sudah dapat merentasi laut hitam pekat waima dia tahu perjalanannya hidupnya sendiri masih lagi berbaki panjang . Dia sendiri tidak pasti!

Dia mengalihkan pandangan pada anak-anak penyu yang asyik bermain di gigi air yang berbusa putih. Dia menghela nafas panjang dan dalam. Ada doa yang tertitip bersamanya. Anak-anak yang masih muda ini akan mula meninggalkan pesisiran damai ini. Mereka akan mula berenang , membina himmah dan mencari hikmah dalam pengembaraan mereka nanti.

Dia masih ingat, dahulu, dia cuma anak penyu comel, manja dan keletah. Hari ini dia sendiri seakan tidak percaya , dia adalah penyu muda yang terselamat dari pengembaraannya yang sulung dulu. Tidak pernah luput di ingatannya bagaimana dia dan anak-anak penyu lain begitu ghairah merenangi lautan yang saujana terbentang. Menggapai mimpi dan melarik impian, kemegahan dan segala-galanya. Namun , apa yang diketahuinya selepas itu , dunia bukanlah mudah tetapi sebenarnya masih cukup indah! Syukur!

Dia tahu perjalanan merentas ombak bukanlah sesuatu yang mudah. Ada mehnah yang sudah dijanjikan.Ada yang lemas di tengah laut, berputus asa, dimakan si jerung malaun yang penuh kedengkian atau juga ditangkap nelayan buat jual-jualan. Aduhai! si anak-anak penyu..tabahkanlah hatimu.

Dia memandang anak-anak penyu satu demi satu. Sapaan angin petang yang membuai-buai sudah cukup untuk menzahirkan perasaannya waktu ini. Ombak dan pantai yang memahami.Matahari juga.Nanti malam, bulan akan datang memintanya tenang selalu. Dia tidak bimbang akan dirinya.Tidak bimbang kerana Allah senantiasa ada dan semesta alam yang bertasbih senantiasa berzikir dan berdoa demi mereka.

Dia sendiri tahu dia punya rencana sendiri, jelajah yang perlu disambung. Namun setiap kali petang, dia akan kembali ke pesisiran yang damai ini, berdoa dan menanti agar semuanya, anak-anak penyu kesayangannya ..ya semuanya , selamat kembali.Tapi , kali ini dengan izzah yang selamanya lestari, demi sebuah legasi.

Legasi cinta.Abadi. Cinta ilahi!


"Abang mesti sayangkan mereka,kan?"
tanya seorang junior sewaktu belajar dahulu yang datang melawat saya beberapa hari lepas sambil-sambil menghirup ice blended white coffee. Wah, kali ini ada ceri yang menemani whipped cream yang setia. Selalunya chocolate rice ataupun langsung tidak ada!

Saya menjawab dengan anggukkan yang perlahan tapi penuh dengan harapan dan doa.

Dan hari ini, saya menyaksikan satu ancaman terbesar buat mereka yang saya sayangi. Antara bisik-bisik dan onar manusia yang mahu memisahkan mereka dan saya. Sebetulnya,bukan saya tapi cahaya kebaikan dan risalah yang berpanjangan. Saya khuatir amat , Ya Allah, siapakah nanti yang bakal mereka dengar dan taruhkan kepercayaan. Saya khuatir saya tidak akan menang.Bagaimanakah harus saya yakinkan mereka dan menolak segala tohmah dan khabar tidak baik itu? Berdasarkan rekod pencapaian saya bersama mereka, adakah saya punyai segala peluang, Ya Allah?

Berilah kepercayaan dan tanyalah pada firasat imanmu....
Saya benar-benar risau. Semoga hidayah dan perlindungan Allah senantiasa bersama mereka.

Dan junior yang bertanya, saya tahu , masanya sudah sampai untuk kamu membuat keputusan. Maaf sekiranya terlalu awal. Ya, terlalu awal.
Juga, tanyalah pada firasat imanmu!
Dan saya juga mahu dia tahu, saya sangat sayang akan dirinya. Kerana Allah.
posted by hukamaque @ 5:25 pm  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
 
Tentang Kita
Ikatan Muslimin Malaysia :ISMA:
Selamanya Bermakna!
Koleksi

 

 

Links
Template by
Free Blogger Templates