Monday, November 27, 2006
Duduklah beriman sejenak
Ketahuilah, bahawa di dalam jasad terdapat segumpal daging, bila ia baik maka baiklah seluruh jasad itu dan bila ia rosak maka rosaklah pula seluruh jasad.Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah hati.(Hadis ke-6 , Matan Arbain Imam Nawawi.Riwayat Bukhari dan Muslim)

Duduk bersama dengan orang-orang alim dan soleh.Pertemuan yang memancarkan sinar cinta.Ikhlas.Itulah antara penawar bagi hati manusia. Itu yang saya rindukan. Puji bagi Allah , Rabb yang Amat Menyempurnakan, selalunya memberikan saya peluang untuk bertemu dengan insan-insan yang soleh dan kawan-kawan yang saya cintai.

Terkurung bersama timbunan kertas dan bersama-sama orang yang kafir selama lebih dari 12 jam sehari menyebabkan jiwa saya menjadi lemah dan luntur. Tidak ada apa yang kami boleh bualkan melainkan angka-angka dan tidak satu perkataan pun yang boleh saya kaitkan dengan Allah.

Alhamdulillah..Segala pujian dan ucap penghargaan buat Allah yang meletakkan klien baru saya di Shah Alam. Kota mewah yang amat saya senangi. Cita-cita saya , kalau diizinkan Allah, saya mahu membeli rumah di dua tempat; Shah Alam atau Putrajaya.

Berbalik kepada galakkan duduk bersama-sama orang soleh, berdasarkan pembacaan dan pengalaman , akhirnya saya menemukan satu lagi sumber kekuatan super bagi seorang muslim apatah lagi seorang daie.

Justeru, marilah kita mengenangkan kata-kata Mua'dz bin Jabal yang terkenal, sesungguhnya hati itu berbolak -balik seperti tudung periuk yang menggelegak, oleh sebab itu , marilah kita duduk beriman sejenak.

Inilah yang saya cari!
Selalunya kalau berkesempatan di Shah Alam, saya pasti singgah di Masjid Negeri. Di sana bagi saya ada kedamaian dan ketenangan. Dua tiga hari yang lepas, Allah telah mentakdirkan saya bertemu dengan kawan-kawan yang cukup istimewa. Suhail, satu-satunya sahabat yang saya rasa percaya jika saya melepaskan adik perempuan saya mengahwininya. Wah, tingginya cita-cita! Saya sangat senang juga mendengar celoteh, bual-bicara Suhail. Malam itu, kami habiskan dua pinggan char kuey teow dan nasi lemak bersama. Tamat, kisah duduk bersama rakan yang soleh yang pertama.

Kehidupan ini sebenarnya tidak ada konsep kebetulan. Percaya atau tidak semuanya telah Allah ciptakan dengan kadarnya yang tersendiri (Surah Al-A'laa: 3). Ibu memang tidak pernah melahirkan seorang adik kecil bernama Halim untuk saya. Walaupun , ibu pernah memberitahu kalau ada lagi seorang wira kecil dalam keluarga kami, ibu memang berhajat menamakannya Halim.

Maghrib hari ini, menemukan saya dengan Halim.Pertama kali saya mendekatinya di surau, hati saya memang sudah berdetik.Paling tidak, perawakannya iras Anas, adik pertama yang saya pimpin kumpulan usrahnya waktu zaman anak sekolahan dulu. Saya memberanikan diri menegur, mengajaknya berbual. Saya kagum amat dengan peribadinya. Tanggapan pertama, dia melazimi bacaan Al-Quran and ma'thurat. Sah, dia baka 'luar biasa'.

"26..27..24..25..19..muda sangat..23..21 dan akhirnya 22. Dia meneka umur saya. Selalunya itu soalan 'popular' kalau kali pertama bertemu dan dia sangat gembira akhirnya saya mengiyakan tekaannya. Terhibur!

Mungkin saya teruja benar pada detik-detik awal kerana dia betul iras Anas. Rambut, susun gigi, senyum, lembut dan tenang dia berbicara, lawak-lawaknya, gaya berpakaian, seluar slack warna 'greyish' dipadankan dengan baju melayu moden rona biru tua.Semuanya semacam dekat. Paling membuatkan hati saya melonjak-lonjak, apabila dia senang meluahkan..''usrah ini kena sampai tua, bang..''
Saya mengangguk, mengiyakan di dalam hati.

Jari-jemari saya pantas mengirimkan sms kepada Anas yang sekarang sudah dewasa, besar panjang, sedang musim imtihan. Anas, alhamdulillah. Saya menjumpai seorang lagi semacam Anas. Baju, gaya bercakap, rambut..bla..bla..bla

Halim, cuma seorang budak muda, berusia 14 tahun.Segala puji bagi Allah yang menemukan saya dengan Halim di celah-celah kesibukan saya waktu ini. Paling tidak, saya dapat mengulangkaji surah-surah hafalan saya,berkongsi banyak cerita dan membina kekuatan seorang muslim apabila duduk bersamanya!

Betul kata Suhail sebelum meninggalkan saya malam itu, "kita sebagai muslim memang perlu bertemu dengan orang soleh seperti...":wink:

Kisah pertemuan saya dan Halim berlanjutan sehinggalah ke pintu pagarnya apabila saya menemani adik kecil itu pulang.

Ruh-ruh orang mukmin itu bagaikan tentera, kalau pun mereka tidak bertemu, mereka akan berselisih!

Itulah yang terjadi!

Duduklah beriman sejenak! Terima kasih Allah..kurasakan rahmatMu tidak pernah kurang ..bahkan kolah cintaku mulai bergenang-genang.

Dedikasi istimewa untuk Zaki , yang memberikan saya sabun ketika usai satu perkhemahan suatu ketika dulu.Paling bermakna buat saya walaupun cuma seketul sabun Protex. Selamat Hari Lahir ke-18. Semoga keberkatan usia mengiringi setiap langkahmu.

Kalian juga teristimewa!
posted by hukamaque @ 8:44 am  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
 
Tentang Kita
Ikatan Muslimin Malaysia :ISMA:
Selamanya Bermakna!
Koleksi

 

 

Links
Template by
Free Blogger Templates